
Masalah perebakan bandar adalah suatu masalah yang boleh ditakrifkan sebagai proses perkembangan dan pembangunan sesebuah bandar sehingga ke pinggiran bandar tersebut. Pada satu ketika proses perebakan ini sebenarnya mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri. Kesan positif yang boleh didapati daripada isu perebakan ini antaranya adalah terdapat lebih banyak peluang untuk penduduk memiliki rumah atau tanah lot yang sendiri, kos tanah akan berkurangan, masalah pencemaran terutamanya bau, udara dan bunyi secara tidak langsung akan berkurang dan tidak tertumpu pada satu kawasan bandar sahaja, masalah berkaitan sosial akan berkurangan disebabkan terdapatnya pelbagai peluang penawaran pekerjaan dan lain-lain keuntungan akibat proses rebakan bandar ini. Manakala dari segi kesan negatif pula masalah rebakan bandar yang tidak terkawal ini akan mengundang kebergantungan penduduknya terhadap kenderaan, masalah ketidakseimbangan pembahagian infrastruktur dan fasiliti secara menyeluruh, peningkatan kos untuk infrastruktur dan fasiliti yang perlu disediakan bagi seluruh kawasan bandar, pelan jalan yang tidak teratur dan mengelirukan disebabkan proses rebakan yang berlaku tanpa perancangan yang strategik, campuran kepelbagaian jenis perumahan dan perindustrian yang bercampur-aduk tanpa perancangan yang sempurna, penggunaan tanah, air dan tenaga yang tinggi per kapita, dan masalah-masalah lain. Di Malaysia antara bandar yang telah mengalami proses rebakan bandar yang semakin meruncing permasalahanya adalah di bandaraya Johor Bahru. Namun yang dapat dilihat daripada masalah yang terjadi di Johor Bahru ini adalah kesan yang menimpa kepada kawasan perkampungan di sekitarnya. Disebabkan masalah ini telah timbul konflik-konflik yang telah menimbulkan pelbagai ketidaksenangan penduduk akan masalah ini.