Lokasi pertama yang dituju adalah ke Kampung Melayu Lima Kedai. Kampung tersebut adalah boleh diketegorikan sebagai kampung yang dihimpit oleh pembangunan pesat di sekitarnya. Akibat yang boleh dilihat dengan jelas adalah imej perkampungan bagi kampung terbabit kian hilang akibat daripada permasalahan terbabit. Walaupun pembangunan adalah baik bagi penduduk kampung terbabit namun pembangunan yang tidak dirancang dengan sewajarnya bakal mengudang masalah di kemudian hari.

Lokasi kedua yang dituju adalah Pekan Gelang Patah. Hasil daripada pemerhatian yang dibuat dapat dilihat secara keseluruhannya kawasan pekan kecil terbabit adalah dipenuhi dengan pelbagai aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh pelbagai bangsa secara muhibah. Namun permasalahannya adalah aktivit perniagaan di Pekan Gelang Patah tidak dapat berkembang dan maju. Ini adalah kesan daripada persaingan dengan pasaran perniagaan yang lebih besar dan maju diakibatkan oleh tekanan pembangunan. Ini adalah salah satu kesan yang akan diterima oleh pekan-pekan kecil di pinggir bandar yang dihimpit oleh pembangunan pesat. Pekan tersebut jika tidak dirancang pembangunannya dengan sebaik mungkin akan mengakibatkan pekan tersebut mati dan tidak hidup dengan pelbagai aktivit.

Seterusnya lawatan telah bergerak ke kawasan perumahan mewah di Lesseir Farm. Perumahan mewah ini sebenarnya membawa kesan positif dan negatifnya yang tersendiri. Kesan positifnya adalah perumahan di pinggir bandar dapat mengurangkan kepadatan yang berlebihan di kawasan pusat bandar namun kesan negatifnya pula adalah dari segi jurang yang akan timbul akibat perbezaan yang ketara dari segi pembangunan kawasan perumahan kos tinggi dan perumahan kos rendah yang senonim di kawasan pingir bandar.

Kawasan pentadbiran bagi wilayah Iskandar di Nusajaya adalah sebuah kawasan yang dibangunkan secara terancang di kawasan pinggir bandar. Secara peribadi kawasan tersebut amatlah menarik untuk dilawati dan secara tidak langsung bakal menarik pelawat ke kawasan terbabit. Namun apa yang dibimbangkan adalah kesan jangka panjang yang akan dirasai oleh kawasan pinggir bandar yang sedia ada apabila kawasan pentadbiran Nusajaya ini bakal berkembang dan membesar suatu hari kelak.

Lokasi terakhir yang dilawati adalah kawasan perniagaan di Bukit Indah. Antara superstore besar yang boleh dikunjungi di Bukit Indah adalah Jusco, Giant dan Tesco. Sememangnya kewujudan perniagaan besar sebegini memberi kemudahan dan kesenangan kepada orang ramai untuk membeli-belah dan membuat pelbagai pilihan belian namun yang menjadi permasalahannya adalah persaingan yang wujud diantara superstore terbabit dengan kedai-kedai kecil di sekitarnya. Adakah dengan kewujudan pasaraya besar sebegitu dapat membantu strategi pemasaran kawasan perniagaan kecil di sekitarnya?
